Friday, July 6, 2012

Pantun kiasan

Batu kerikil sepanjang jalan,
Kanan kiri hutan dara;
Apakah degil riwayat ke hadapan,
Diri sendiri penyebab angkara?

Berkaca mata menonton wayang,
‘Tentang Dia’ kisah sahabat;
Baca nota mohon diulang,
Terang nyata makna tersirat.

Sambal udang sambal pari,
Tiada lawan sambal belacan;
Baru datang berlagak berani,
Mahu menawan hati puan.

Jiran tetangga bersatu hati,
Menjalin padu elakkan sengketa;
Berbagai duga sentiasa ditemui,
Mantap jitu memaknakan dewasa.

Bermalam sudah di Kem Kubena,
Tumpahkan ilmu pelatih harapan;
Biar beralah melerai sengsara,
Andai kelu tidak disimpan.

Di tepi kali mengunyah kuaci,
Anak ayam berkumpul sama;
Bukan menyepi kerana benci,
Bukan diam kerana tak suka.

Mawar dicari duri terjumpa,
Tiada rotan akar berguna;
Cincin di jari dari siapa,
Rupanya adik sudah berpunya.

Dalam peta sudah terlihat,
Simpang Mengayau ombak bertemu;
Diam berkata indahnya sifat,
Fikiran kacau tidak membantu.

Disangka datang dari Sipitang,
Durian Ranau dijual sudah;
Disangka petang utusan datang,
Hanya engkau di depan rumah.

Asah belati di malam hari,
Potong sepat untuk jamuan;
Gelisah hati mengingat diri,
Tolong sahabat korbankan impian.

Ekor kucing jadi penarik,
Terkurung sedih dalam raga;
Gemar memusing tidakkah serik,
Teman beralih tidak menyapa.

Pasang lampu di siang hari,
Mahu bersiap menangkap udang;
Hanya mampu menyusun jari,
Lafaz maaf mohon ditimbang.

Hari ini menuai jagung,
Hari esok menuai padi;
Hari ini dibuai sanjung,
Hari esok dibuai benci.

Pekan Sipitang jadi singgahan,
Banyak kereta mengisi minyak;
Hati rawan dilupakan teman,
Memberi berita langsung tidak.

Jarum peniti atas buaian,
Ajaran nenek elak gangguan;
Hebat teliti menjelas persoalan,
Meski pelik dapat kepuasan.

Hendak menari tidak berlagu,
Irama asli kegemaran Dayang;
Hendak dicari tidak bertuju,
Bila bertemu pula dilarang.

Kanji dimasak gunanya ada,
Dituang perlahan di dalam mangkok;
Janji didesak bukanlah cara,
Uji bertahan menanti esok.

Jolok mangga waktu pagi,
Bawa ke pasar dijual borong;
Jangan berbangga sesungguh hati,
Sebelum benar perkara mendorong.

Syahfierah gemar membaca sajak,
Semangat waja hadapan guru;
Jangan dicemar gara terlajak,
Sesal teruja rasa terharu.

Jangan tuai padi tak masak,
Hanya hampa saja yang dapat;
Jangan pandai saja mendesak,
Hanya lara saja yang rapat.

Jangan padi disangka padi,
Jika ditampi cuma hampanya;
Jangan sudi disangka sudi,
Jika sudi cuma sapanya.

Ke mana jalan hendak dituju,
Jalan berliku ke kebun gajus;
Jika badan sudah setuju,
Katakan waktu masa mengutus.

Bunga harum simpan di peti,
Jangan lupa hantar ke Bintulu;
Jika belum perlu di hati,
Cukup bersapa sekadar perlu.

Tunggul Tinggi nama tempatnya,
Berdiri megah menara pemancar;
Jika budi tertanam di jiwa,
Di mana berada rasa tak gusar.

Jika bukan kerana nangka,
Tidak getah singgah di jari;
Jika bukan kerana hamba,
Tidak betah singgah di sini.

Kalau putus tali kemudi,
Tali kemudi dicari dulu;
Kalau diutus maksud sudi,
Jangan sudi setuju melulu.

Kalau ubi sudah menjadi,
Jangan isi menjadi kayu;
Kalau hati sudah terisi,
Jangan seri menjadi layu.

Kalau padi menjadi beras,
Dari beras menjadi bubur;
Kalau sudi niat dibalas,
Biar dialas niat yang jujur.

Telah berbilah diasah parang,
Bersiap ke hutan menebang kayu;
Kelak sudah tiada sayang,
Mohon kemaafan daku berlalu.

Anak Sungai berjeram deras,
Tumpuan orang mandi-manda;
Kelak terurai rindu yang jelas,
Tiada hilang kasih kekanda.

Jalan sesak di masa puncak,
Lori lama sama beratur;
Kiranya ditolak terkena onak,
Luka hamba bertambah subur.

Kirai sigup banyak di pasar,
Kapur sirih sahaja dibeli;
Kiranya sanggup mencanai debar,
Mohon dipilih teman sejati.

Lepas berenang berlari anak,
Dikejar angsa laju larinya;
Mahu dikenang siapa nampak,
Hanya rasa teguh memuja.

Ikan gelama dimasak kicap,
Ikan siakap digulai lada;
Mana irama mahu digarap,
Belum tergarap terkulai nada.

Buru basing pokok ke pokok,
Pokok rambutan tidak berbiji;
Masing-masing lagak berkokok,
Ayam jantan tidak bertaji.

Berjalan jauh banyak cerita,
Sedar tidak teman terlelap;
Menarik sauh berat terasa,
Belayar tidak tapi berharap.

Bertudung mencari harta karun,
Pantun madah jadi nyanyian;
Mendung tanda hujan nak turun,
Air ditadah dibuang jangan

Kampung Manggis jalan berliku,
Pekan Papar tempat berjual;
Mengapa menangis bertemu daku,
Makan sepinggan tidur sebantal.

Hilanglah ayu kerana pekerti,
Luntur dimamah sifat mazmumah;
Mengapa selalu dihina benci,
Kesasar langkah bukankah lumrah?

Gelaga dan tebu sama sahaja,
Manis airnya diminati ramai;
Merana badan tidak berdaya,
Impian jiwa tidak tercapai.

Kampung Karangan dekat Lumadan,
Kebun cempedak di sana banyak;
Panas baran bukan amalan,
Bila kehendak berlawan tindak.

Bukit Kubena tempat pelatih,
Singgah di Lawas membeli beras;
Perit adinda jalan bertatih,
Lama berawas agar tak tewas.

Berarak awan irama seruling,
Belayar mudik bawa puteri;
Ramai kawan duduk keliling,
Hanya adik tabah di sisi.

Orang putih berjalan kaki,
Orang hitam naik basikal;
Rasa pedih berbuku hati,
Muka masam kecamuk akal.

Dalam baju ada saku,
Dalam saku sebentuk cincin;
Rasa sayu lidah kelu,
Rasa malu menyampai ingin.

Leo AWS Rosli K Matari,
Penyair berdua jadi sahabat;
Tidak tertulis madah bestari,
Hilang sirna permata kalimat.

Dadih pekat sudah dihidang,
Belum dijamah tetamu Pak Lebai;
Sedih teramat kekasih hilang,
Kuntum nan indah layu terkulai.

Atas pagar burung merpati,
Menanti masa terbang ke udara;
Sudah diujar mengubah pekerti,
Tepuk dada soal selera.

Burung tempua bersarang tinggi,
Burung undan bersarang rendah;
Sudah berusia tak sedar diri,
Lahad di depan masih tak berubah.

Menyusur liku ke Sungai Kayu,
Budak-budak gembira menyambut;
Sudah tahu perangai begitu,
Masih hendak tingkah diikut.

Membaca akhbar pelbagai isu,
Bahan dicari belum kelihatan;
Tanpa khabar diam membisu,
Mohon berkongsi mengapa gerangan.

Letak buluh di ambin rumah,
Dipotong rata jadikan rakit;
Telah bersungguh hati diserah,
Berat berkata khabarkan sulit.

Sambil menyapa tersimpul senyuman,
Menyahut seruan berbudi murni;
Tiada siapa memilih teladan,
Kalau bukan kehendak hati.

Pakai sari tenunan Murut,
Benang merah dari Nabawan;
Tidak sekali kemahuan diturut,
Tersilap arah berkecai impian.
Benarkah pahlawan tewas ditawan,
Tiada mayat menjadi bukti;
Benarkah kawan memakan kawan,
Sanggup menjilat ludah sendiri.

Datu Paduka insan istimewa,
Berzaman dikenang dalam sejarah;
Bila duka dilindungi tawa,
Sentiasa tenang menerus langkah.

Redah laut menuju Labuan,
Bawa bekal sebungkus linopod;
Dahi berkerut mengenangkan teman,
Lidah kelu menyampai maksud.

Dulu Diasoka menjadi Api-Api,
Kota Kinabalu gemilang bertakhta;
Dulu suka menjadi benci,
Terjadi sayang di balai cinta.

Peribahasa kali ini...untuk kesusasteraan melayu

banyak cakap...................................banyak kesilapan yang terserlah...
lebih baik senyap pandang diri di dalam diri..
muhasabah diri dari menuding sesama sendiri..
perjalanan perjuangan masih jauh...
yang lemah diperkuatkan................yang kurang diperbanyakkan..
yang buruk dipermolekkan.............yang rosak diperbaiki..
yang keruh dijernihkan...................yang terselindung ditonjolkan..
yang jauh didekatkan..................... yang dekat diserasi2kan..
yang pahit dimaniskan................... yang tawar diberi rasa..
yang berat diringankan.................. yang susah disenangkan...
yang besar tak semestinya kuat..... yang kecil tak semestinya lemah..
yang diatas tak semestinya hebat...yang dibawah tak semestinya tak berguna..
yang cerdik tak semestinya betul....yang bodoh tak semestinya salah..
yang diam tak semestinya bisu.......yang tak melihat tak semestinya buta..