Friday, September 21, 2012

Karya seni Berbicara


Saturday, September 1, 2012

Friday, July 6, 2012

Pantun kiasan

Batu kerikil sepanjang jalan,
Kanan kiri hutan dara;
Apakah degil riwayat ke hadapan,
Diri sendiri penyebab angkara?

Berkaca mata menonton wayang,
‘Tentang Dia’ kisah sahabat;
Baca nota mohon diulang,
Terang nyata makna tersirat.

Sambal udang sambal pari,
Tiada lawan sambal belacan;
Baru datang berlagak berani,
Mahu menawan hati puan.

Jiran tetangga bersatu hati,
Menjalin padu elakkan sengketa;
Berbagai duga sentiasa ditemui,
Mantap jitu memaknakan dewasa.

Bermalam sudah di Kem Kubena,
Tumpahkan ilmu pelatih harapan;
Biar beralah melerai sengsara,
Andai kelu tidak disimpan.

Di tepi kali mengunyah kuaci,
Anak ayam berkumpul sama;
Bukan menyepi kerana benci,
Bukan diam kerana tak suka.

Mawar dicari duri terjumpa,
Tiada rotan akar berguna;
Cincin di jari dari siapa,
Rupanya adik sudah berpunya.

Dalam peta sudah terlihat,
Simpang Mengayau ombak bertemu;
Diam berkata indahnya sifat,
Fikiran kacau tidak membantu.

Disangka datang dari Sipitang,
Durian Ranau dijual sudah;
Disangka petang utusan datang,
Hanya engkau di depan rumah.

Asah belati di malam hari,
Potong sepat untuk jamuan;
Gelisah hati mengingat diri,
Tolong sahabat korbankan impian.

Ekor kucing jadi penarik,
Terkurung sedih dalam raga;
Gemar memusing tidakkah serik,
Teman beralih tidak menyapa.

Pasang lampu di siang hari,
Mahu bersiap menangkap udang;
Hanya mampu menyusun jari,
Lafaz maaf mohon ditimbang.

Hari ini menuai jagung,
Hari esok menuai padi;
Hari ini dibuai sanjung,
Hari esok dibuai benci.

Pekan Sipitang jadi singgahan,
Banyak kereta mengisi minyak;
Hati rawan dilupakan teman,
Memberi berita langsung tidak.

Jarum peniti atas buaian,
Ajaran nenek elak gangguan;
Hebat teliti menjelas persoalan,
Meski pelik dapat kepuasan.

Hendak menari tidak berlagu,
Irama asli kegemaran Dayang;
Hendak dicari tidak bertuju,
Bila bertemu pula dilarang.

Kanji dimasak gunanya ada,
Dituang perlahan di dalam mangkok;
Janji didesak bukanlah cara,
Uji bertahan menanti esok.

Jolok mangga waktu pagi,
Bawa ke pasar dijual borong;
Jangan berbangga sesungguh hati,
Sebelum benar perkara mendorong.

Syahfierah gemar membaca sajak,
Semangat waja hadapan guru;
Jangan dicemar gara terlajak,
Sesal teruja rasa terharu.

Jangan tuai padi tak masak,
Hanya hampa saja yang dapat;
Jangan pandai saja mendesak,
Hanya lara saja yang rapat.

Jangan padi disangka padi,
Jika ditampi cuma hampanya;
Jangan sudi disangka sudi,
Jika sudi cuma sapanya.

Ke mana jalan hendak dituju,
Jalan berliku ke kebun gajus;
Jika badan sudah setuju,
Katakan waktu masa mengutus.

Bunga harum simpan di peti,
Jangan lupa hantar ke Bintulu;
Jika belum perlu di hati,
Cukup bersapa sekadar perlu.

Tunggul Tinggi nama tempatnya,
Berdiri megah menara pemancar;
Jika budi tertanam di jiwa,
Di mana berada rasa tak gusar.

Jika bukan kerana nangka,
Tidak getah singgah di jari;
Jika bukan kerana hamba,
Tidak betah singgah di sini.

Kalau putus tali kemudi,
Tali kemudi dicari dulu;
Kalau diutus maksud sudi,
Jangan sudi setuju melulu.

Kalau ubi sudah menjadi,
Jangan isi menjadi kayu;
Kalau hati sudah terisi,
Jangan seri menjadi layu.

Kalau padi menjadi beras,
Dari beras menjadi bubur;
Kalau sudi niat dibalas,
Biar dialas niat yang jujur.

Telah berbilah diasah parang,
Bersiap ke hutan menebang kayu;
Kelak sudah tiada sayang,
Mohon kemaafan daku berlalu.

Anak Sungai berjeram deras,
Tumpuan orang mandi-manda;
Kelak terurai rindu yang jelas,
Tiada hilang kasih kekanda.

Jalan sesak di masa puncak,
Lori lama sama beratur;
Kiranya ditolak terkena onak,
Luka hamba bertambah subur.

Kirai sigup banyak di pasar,
Kapur sirih sahaja dibeli;
Kiranya sanggup mencanai debar,
Mohon dipilih teman sejati.

Lepas berenang berlari anak,
Dikejar angsa laju larinya;
Mahu dikenang siapa nampak,
Hanya rasa teguh memuja.

Ikan gelama dimasak kicap,
Ikan siakap digulai lada;
Mana irama mahu digarap,
Belum tergarap terkulai nada.

Buru basing pokok ke pokok,
Pokok rambutan tidak berbiji;
Masing-masing lagak berkokok,
Ayam jantan tidak bertaji.

Berjalan jauh banyak cerita,
Sedar tidak teman terlelap;
Menarik sauh berat terasa,
Belayar tidak tapi berharap.

Bertudung mencari harta karun,
Pantun madah jadi nyanyian;
Mendung tanda hujan nak turun,
Air ditadah dibuang jangan

Kampung Manggis jalan berliku,
Pekan Papar tempat berjual;
Mengapa menangis bertemu daku,
Makan sepinggan tidur sebantal.

Hilanglah ayu kerana pekerti,
Luntur dimamah sifat mazmumah;
Mengapa selalu dihina benci,
Kesasar langkah bukankah lumrah?

Gelaga dan tebu sama sahaja,
Manis airnya diminati ramai;
Merana badan tidak berdaya,
Impian jiwa tidak tercapai.

Kampung Karangan dekat Lumadan,
Kebun cempedak di sana banyak;
Panas baran bukan amalan,
Bila kehendak berlawan tindak.

Bukit Kubena tempat pelatih,
Singgah di Lawas membeli beras;
Perit adinda jalan bertatih,
Lama berawas agar tak tewas.

Berarak awan irama seruling,
Belayar mudik bawa puteri;
Ramai kawan duduk keliling,
Hanya adik tabah di sisi.

Orang putih berjalan kaki,
Orang hitam naik basikal;
Rasa pedih berbuku hati,
Muka masam kecamuk akal.

Dalam baju ada saku,
Dalam saku sebentuk cincin;
Rasa sayu lidah kelu,
Rasa malu menyampai ingin.

Leo AWS Rosli K Matari,
Penyair berdua jadi sahabat;
Tidak tertulis madah bestari,
Hilang sirna permata kalimat.

Dadih pekat sudah dihidang,
Belum dijamah tetamu Pak Lebai;
Sedih teramat kekasih hilang,
Kuntum nan indah layu terkulai.

Atas pagar burung merpati,
Menanti masa terbang ke udara;
Sudah diujar mengubah pekerti,
Tepuk dada soal selera.

Burung tempua bersarang tinggi,
Burung undan bersarang rendah;
Sudah berusia tak sedar diri,
Lahad di depan masih tak berubah.

Menyusur liku ke Sungai Kayu,
Budak-budak gembira menyambut;
Sudah tahu perangai begitu,
Masih hendak tingkah diikut.

Membaca akhbar pelbagai isu,
Bahan dicari belum kelihatan;
Tanpa khabar diam membisu,
Mohon berkongsi mengapa gerangan.

Letak buluh di ambin rumah,
Dipotong rata jadikan rakit;
Telah bersungguh hati diserah,
Berat berkata khabarkan sulit.

Sambil menyapa tersimpul senyuman,
Menyahut seruan berbudi murni;
Tiada siapa memilih teladan,
Kalau bukan kehendak hati.

Pakai sari tenunan Murut,
Benang merah dari Nabawan;
Tidak sekali kemahuan diturut,
Tersilap arah berkecai impian.
Benarkah pahlawan tewas ditawan,
Tiada mayat menjadi bukti;
Benarkah kawan memakan kawan,
Sanggup menjilat ludah sendiri.

Datu Paduka insan istimewa,
Berzaman dikenang dalam sejarah;
Bila duka dilindungi tawa,
Sentiasa tenang menerus langkah.

Redah laut menuju Labuan,
Bawa bekal sebungkus linopod;
Dahi berkerut mengenangkan teman,
Lidah kelu menyampai maksud.

Dulu Diasoka menjadi Api-Api,
Kota Kinabalu gemilang bertakhta;
Dulu suka menjadi benci,
Terjadi sayang di balai cinta.

Peribahasa kali ini...untuk kesusasteraan melayu

banyak cakap...................................banyak kesilapan yang terserlah...
lebih baik senyap pandang diri di dalam diri..
muhasabah diri dari menuding sesama sendiri..
perjalanan perjuangan masih jauh...
yang lemah diperkuatkan................yang kurang diperbanyakkan..
yang buruk dipermolekkan.............yang rosak diperbaiki..
yang keruh dijernihkan...................yang terselindung ditonjolkan..
yang jauh didekatkan..................... yang dekat diserasi2kan..
yang pahit dimaniskan................... yang tawar diberi rasa..
yang berat diringankan.................. yang susah disenangkan...
yang besar tak semestinya kuat..... yang kecil tak semestinya lemah..
yang diatas tak semestinya hebat...yang dibawah tak semestinya tak berguna..
yang cerdik tak semestinya betul....yang bodoh tak semestinya salah..
yang diam tak semestinya bisu.......yang tak melihat tak semestinya buta..

Tuesday, June 26, 2012

Biar gambar berbicara - seni photografi

Wajah itu boleh membohongi walau hati itu sedang bersedih, Sabarlah

Ya Allah... jangan engkau pikulkan kami dengan ujian yang kami x terdaya memikulnya...

Ya Allah.. janganlah engkau palingkan hati kami sesudah engkau memberi hidayah dan petunjuk-Mu kepada kami...

maafkan lah dan ampunkanlah dosa-dosa kami... sesungguhnya Engkaulah tempat kami berserah dan meminta pertolongan... amiiin...

Thursday, May 24, 2012

Hidup tidak selalu indah..........


Hidup tak selalunya indah. Kadang-kadang kita senang, gembira, bahagia. Kadang-kadang kita ditimpa kesusahan, bersedih. Ingatlah, semua itu adalah anugerah perasaan Allah buat kita. Jangan sampai kita kufur kerana mengeluh nasib diri yang tidak sama dengan manusia lain kerana manusia adalah sebaik-baik kejadian oleh Nya. Amin..

Senyum – Apabila berada dalam tekanan, cubalah untuk senyum. Senyumlah dihadapan cermin dan lihatlah diri anda yang sedang tersenyum. Ia mampu menenangkan fikiran dan hati.

Tuesday, May 22, 2012

Menitis....


Menangislah sehabis mahumu,

kemudian sapulah air matamu..

kerana kebahgiaan Itu akan menjelma


Monday, May 21, 2012

Ukiran Kayu Tradisional



Pengenalan

Seni ukiran kayu adalah seni kraftangan yang telah lama wujud di kalangan masyarakat Malaysia terutama bagi masyarakat Melayu, masyarakat etnik Sabah dan Sarawak serta masyarakat Orang Asli. Seni ukiran yang dipersembahkan melalui bahan kayu ini sama seperti seni ukiran yang lain cuma berbeza dari segi cara dan teknik pengukirannya. Seni ini begitu berkembang luas kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai hasil kayu-kayan yang banyak di mana terdapat kira-kira 3000 spesis kayu-kayan di negara kita. Di samping itu juga, kayu adalah bahan alam yang sangat sesuai untuk diukir dan boleh dipelbagaikan kegunaannya. Dalam bidang ini, fokus akan ditumpukan kepada seni ukiran masyarakat Melayu, masyarakat etnik Sarawak dan masyarakat Orang Asli.

Sejarah Ukiran Kayu Melayu

Ukiran merupakan hasil seni rupa tradisi Melayu yang terulung. Sejarah seni ukir di Tanah Melayu banyak terdapat dalam catatan-catatan sejarah iaitu dalam Sejarah Melayu di mana dikatakan seni ukiran Melayu tradisi telah ada sejak lebih 500 tahun dahulu. Pada ketika itu, orang-orang Melayu sudah memberi perhatian yang istimewa terhadap seni ukiran pada bangunan seperti istana dan rumah kediaman. Raja-raja Melayu pada zaman dahulu m
emainkan peranan penting dalam memperkembang dan menghidupkan suasana seni ukiran. Hingga kini peninggalan istana-istana lama memperlihatkan betapa indah dan uniknya ukiran-ukiran yang diterapkan pada istana-istana tersebut. Di Semenanjung Malaysia, kekayaan seni ukiran kayu orang Melayu paling ketara pada binaan rumah tradisional terutama di Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan.

Teknik dan Gaya

Ukiran kayu dapat dilaksanakan dengan berbagai-bagai teknik dan penggunaan satu-satu teknik itu banyak bergantung pada kebolehan dan kemahiran pandai kayu. Tiga teknik utama dan gaya di dalam
seni ukiran Melayu ialah tebuk terus, tebuk separuh dan tebuk timbul. Bentuk ukiran juga ada tiga jenis utama iaitu bujang, l
engkap dan pemidang

Bentuk Bujang

Bentuk ini berdiri terasing, bebas, dan tidak terikat, berkait atau bersambung-sambung. Biasanya bentuk ini menampilkan
motif bulan, bintang, matahari, kuntuk bunga ataupun putik buah.

Bentuk Pemidang

Bentuk ini menampilkan motif yang menggambarkan pergerakan sederhana dan tidak berbelit-berbelit. Bentuk ini mempunyai bingkai atau pemidang.
Ukiran-ukiran yang dibuat dalam bentuk ini diberi nama-nama yang menarik seperti itik pulang petang, badak mudik, setampuk manggis da
n lain-lain. Biasanya Bentuk pemidang digunakan untuk jala-jala rumah serta benda-benda yang terdapat di dalam rumah seperti tepak sirih, almari dan dulang kayu.

Bentuk Lengkap

Bentuk ini menggabungkan ciri-ciri bentuk bujang dan bentuk pemidang. Bentuk ini menitikberatkan unsur tumbuh-tumbuhan, merangkumi akar, batang, buah, dahan, daun, putik dan sulurnya.

Alat dan Motif
Alat-alat yang digunakan untuk seni ukiran adalah seperti gergaji, ketam, tukul besi dan paling penting pahat. Motif ukiran kayu orang Melayu terbahagi kepada beberapa jenis ;

*Motif makhluk halus, contohnya ayam, badak dan itik (ayam berlaga, badak mudik danitik pulang petang)

*Motif angkasa atau kosmos yang menerapkan gambaran awan larat seperti bintang, matahari, bulan dan bukit bukau

*Motif Geometri menampilkan bentuk bulatan dan bentuk segitiga yang disusun berderet. Kadangkala bentuk segitiga ini dicantum dengan sulur-sulur tumbuhan. Biasanya, motif- motif ini terdapat pada alat-alat tembikar, sarung keris, tepak sirih dan barang-barang tembaga.

*Motif seni khat atau kaligrafi, menggunakan huruf Arab, terutamanya petikan Quran dan tulisan Jawi. Motif ini banyak terdapat di ambang pintu rumah, masjid dan surau serta pada
alat-alat keagamaan seperti rehal.

Penggunaan

Seni ukiran kayu di kalangan masyarakat Melayu bukan sahaja terdapat pada rumah-rumah tetapi penjelmaan dan penerapannya terdapat pada istana-istana raja, binaan masjid dan mimbarnya, surau, wakaf, pintu gerbang, alat-alat permainan masa lapang, alat-alat muzik tradisi, perabot seperti almari, katil, kerusi, meja, dan kepala perahu yang disebut bangau, alat-alat senjata, peralatan memasak, peralatan pertukangan dan pengangkutan tradisi seperti perahu, kereta kuda dan kereta lembu.

Sumber : http://malaysiana.pnm.my/04/0412ukir_kayu.htm

Sunday, May 20, 2012

E-pindah

Sunday, May 6, 2012

Sejarah Seni Di Malaysia

Pelukis Malaysia pertama yang mengadakan pameran solo di seberang laut ialah Chuah Thean Teng yang diadakan di London pada tahun 1959. dan dipersembahkan oleh Majlis Kesenian Persekutuan. Catan batik eksotik yang dihasilkan sejak beliau membuka Yahong Gallery pada tahun 1955 telah meninggikan taraf batik daripada hasil pertukangan tangan kepada bentuk seni halus. Kejaan Chuan telah membawa seni Malaysia kepada seni antarabangsa. Seterusnya pelukis-pelukis batik yang lain seperti Khalil Ibrahim, Tay Mo Leong dan Toya turut menerima pengiktirafan antarabangsa.

Tahun 1960an
Seni lukis aliran utama 1960an adalah dengan nilai-nilai mistikal dan semesta telah menarik perhatian audien untuk menghayatinya kerana mempunyai kelainan. Dengan adanya tradisi seni khat telah membentuk satu pengucapan gambaran yang tersendiri. Lahir pandangan yang kritikal terhadap seni lukis. Pelbagai aktiviti dijalankan melalui saluran media massa. Antaranya ialah perbincangan, ceramah, syarahan, laporan, pameran dan sebagainya. Acara-acara seni lukis menjadi acara gemilang yang dihadiri oleh pelukis-pelukis, pencinta seni, ahli politik dan diplomat.

Special Teachers Training Institute (STTI) ditubuhkan pada tahun 1960 yang kemudiannya ditukar kepada Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK). Guru-guru yang berminat di bidang seni diberi peluang melanjutkan pelajaran melalui kursus sepenuh masa selama satu tahun. Mereka yang menunjukkan bakat besar dihantar untuk melanjutkan pengajian ke luar negara. Golongan pelukis-pelukis dan pendidik seni telah menjadi tenaga utama seni lukis pada lewat tahun 1960an. Kakitangan akademik Jabatan Seni di Maktab Perguruan Ilmu Khas seperti Syed Ahmad Jamal, Anthony Lau, Lee Joo For, Cheong Laitong, Jolly Koh dan lain-lain lagi memainkan peranan yang penting dalam seni lukis avant-garde di negara ini. Institusi Senilukis yang pertama ditubuhkan ialah Malayan Institut of Art pada tahun 1966. Institusi persendirian ini menawarkan kursus-kursus diploma selama tiga tahun dalam bidang Fine Art, Commercial Art dan Interior Design di samping kursus-kursus sambilan.

Penubuhan Institut Teknologi Mara pada tahun 1967 telah melahirkan sekumpulan tenaga baru pendidik seni dan usahawan-usahawan Melayu dalam bidang seni tertentu. Ia menawarkan kursus diploma selama empat tahun dalam bidang Fine Arts (Painting and Sculpture), Graphics, Photography, Fine Metal, Pottery and Ceramics, Textiles, Fashion dan Industrial Design.

Kuala Lumpur College of Art telah ditubuhkan dalam tahun 1968 dengan menawarkan kursus diploma selama tiga tahun dalam bidang Painting, Sculpture, Ceramics, Chinese Brush Painting, Photography dan Commercial Art. Tahun 1970an

Awal tahun 1970an pensyarah-pensyarah Intitut Teknologi Mara telah mengambil alih tempat avant-garde. Mereka terdiri dari kumpulan ’New Scene’ seperti Redza Piyadasa, Sulaiman Haji Esa, Chong Kam Kow, Tan Teong Eng, Joseph Tan dan lain-lain lagi. Kumpulan ini telah mendebarkan keadaan seni lukis tempatan dengan ungkapan-ungkapan yang mencabar. Pendekatan gaya catan mereka yang berasaskan optik dan maklumat telah mengejutkan pelukis-pelukis tempatan dan masyarakat umum.

Pelukis-pelukis bukan sahaja berkarya dalam bidang minimal, pop, op dan lain-lain aliran semasa tetapi juga menyarankan seni melibatkan kepintaran, nilai-nilai mistika dan metafisika iaitu maklumat dan ilmu yang luar dari bidang catan. Catan hard-edge yang menegaskan kedataran dan tanpa isyarat yang dipelopori oleh Chong Kam Kow, Tan Teong Eng dan Tong Tuck telah mempunyai ikutan yang teguh di awal 1970an.


SEJARAH SENI DI MALAYSIA 2

Persatuan Seni Singapura mengadakan pameran-pameran dan aktiviti-aktiviti seni di dalam dan di luar negeri yang dibuka kepada semua pelukis tanpa mengira bangsa dan darjat. Walker, pelukis mahir aliran Impressionisme telah melatih beberapa pelukis terkemuka seperti Lim Cheng Hoe. Lim diiktiraf sebagai pelukis cat air yang terunggul di mana beliau juga memberi ilham serta menjadi mentor kepada golongan pelukis generasi ini. Lee Man Fong, pelukis penting dalam seni lukis Singapura berhijrah ke Singapura dari Indonesia pada tahun 1967. Dilahirkan di Kanton, China pada 1913, beliau berpindah ke Jakarta pada 1932 dan bekerja sebagai pelukis komersil. Pada tahun 1947, beliau mendapat biasiswa kerajaan Belanda untuk menuntut kesenian di negeri Belanda. Beliau seterusnya dilantik sebagai pelukis Istana Presiden oleh Presiden Sukarno.

Pada Disember, 1941 pendudukan jepun telah mengekang semua aktiviti kebudayaan. Kempeitai iaitu polis tentera Jepun telah mengawasi kumpulan-kumpulan kebudayaan China. Rekod-rekod dan bukti-bukti fotografik lawatan Kelab Seni Lukis China Pulau Pinang telah dibakar sebagai langkah berjaga-jaga. Pada tahun 1945 keseniang di Pulau Pinang telah dihidupkan semula dengan penubuhan Kumpulan Pendidik Seni Pulau Pinang di bawah Jabatan Pendidik Seni, Pulau Pinang. Pada tahun 1948, Tay hooi Keat menjadi warganegara Malaysia pertama yang pergi ke Britain untuk mempelajari seni lukis di Camberwell School of Art. Setelah perang tamat, pusat seni telah beralih dari Paris ke New York. Para pelukis Amerika Syarikat memulakan pergerakan seni seperti Action painting, Ekspressionisme abstrak, Seni Pop, Seni Op, Performance Art, Minimalisme, Seni Konseptual dan sebagainya. Pelukis-pelukis tempatan yang pergi ke luar negeri turut terdedah kepada pelbagai pengaruh aliran seni.

Selepas perang tamat, Pulau Pinang menjadi pusat daya tarikan para pelukis. Frank Sullivan, penaung seni yang terkenal telah menemui Mohd Hoessein Enas di Pulau Pinang pada tahun 1949 dan telah menggesa beliau berpindah ke Kuala Lumpur . Hoession seterusnya menubuhkan Angkatan Pelukis semenanjung dan menjadi tokoh seni kebangsaan yang terkenal. Tahun 1950an

Pada tahun 1952, Majlis Pendidik Seni Pulau Pinang telah ditubuhkan dan diterajui oleh Tay Hooi Keat sebagai pengerusi. Di antara ahli-ahlinya adalah Lee Joo For, Tan Tin Kok, Kim Tong Juan, Tan Lye Hoe dan Chee Wee Sun. Kebanyakan ahli-ahlinya terdiri guru-guru sekolah aliran Bahasa Inggeris. Tay Hooi Keat yang kembali ke Pulau Pinang dari United Kingdom memperkenalkan konsep-konsep baru yang memeranjatkan masyarakat seni lukis tempatan.

Pada tahun 1952 juga Cheong Soo Pieng, Chen Chong Swee, Chen Wen His dan Liu Kang berkunjung ke Bali. Sekembalinya dari Bali mereka mengelolakan pameran bertajuk ’Empat Pelukis Kembali’ yang menyebabkan penciptaan susuk tubuh badan yang dikaitkan dengan seniman Nanyang. Pameran ini telah mendorong ramai pelukis tempatan seperti Khaw Sia membuat lawatan melukis ke Bali. Seterusnya pada tahun 1952 juga, Majlis Kesenian ditubuhkan untuk memberi sokongan, menjaga dan menggiatkan aktiviti-aktiviti dalam pelbagai bidang seni dengan bantuan kerajaan.

Pada tahun 1953, Persatuan Seni Pulau Pinang ditubuhkan di bawah pimpinan Loh Cheng Chuan. Majlis Kesenian Pulau Pinang ditubuhkan pada tahun yang sama dengan souter sebagai Presiden, Tay Hooi Keat sebagai setiausaha dan A Sabapathy sebagai bendahari dan juruaudit. Kedua-dua pertubuhan ini telah mengadakan pameran-pameran seni secara tetap untuk ahli-ahli mereka. Mereka menganjurkan pameran solo untuk para pelukis tempatan serta pelukis luar negara yang membuat lawatan. Wednesday Art Group telah ditubuhkan pada tahun 1952 di Kuala Lumpur oleh Peter Harris. Pada awalnya terdapat kekurangan kegiatan seni yang serius di Kuala Lumpur. Peter Harris merupakan Penguasa Seni di Kementerian Pendidikan dan beliau adalah lepasan sekolah seni di United Kingdom. Beliau memperkenalkan estetik dan teknik seni lukis moden kepada guru-guru dan pelukis muda tempatan yang berminat. Di antara pelukis-pelukis yang mendapat tunjuk ajar dan galakan beliau ialah Patrick Ng, Cheong Lai Tong, Zakariah Noor, Ismail Mustan, Dzulkifli Buyong, Ho Kai Peng, Liu Siat Mooi, Grace Selvanayagam, Phoon Poh Hoon, Jolly Koh dan Syed Ahmad Jamal.

Pada tahun 1954, Persatuan Seni Selangor telah diasaskan oleh ekspatriat dan ahli-ahli seperti Fung Yow Chork, Zakariah Noor, Yong Peng Seng, Chong Hooi Fah, Syed Zainal dan Chong Sing Kwai. Kumpulan ini bertemu seminggu sekali pada hari Khamis di Sekolah Lelaki Methodist untuk membuat catan potret, figuratif, lukisan dan lakaran. Angkatan Pelukis Semenanjung iaitu APS yang kemudiannya dikenali sebagai Angkatan Pelukis Se Malaysia ditubuhkan di Kuala Lumpur pada tahun 1956 oleh Mohd Hossein Enas. APS bertujuan untuk mengumpul serta menyatupadukan pelukis-pelukis Melayu. Ahli-ahlinya telah mencontohi penasihat mereka, Mohd Hoessein Enas yang terkenal kerana potret realistik dalam cat minyak dan pastel. Antara yang terkenal dalam persatuan ini ialah Idris Salam, Mohd Sallehuddin, Sabtu Mohd Yusof, Mazli Mat Som, Ahmad Hassan, Yusof Abdullah dan Zakariah Noor.

Pada tahun 1957, Thursday Art Group telah ditubuhkan di Pulau Pinang dengan matlamat yang sama dengan Wednesday Art Group. Ahli-ahli terdiri daripada Abdullah Ariff, Tay hooi Keat, Kuo Ju Ping, Lee Joo For, Lim Tong Juan dan William K.K. Lau. Mereka memperkenalkan konsep-konsep baru, mengadakan kelas-kelas melukis, sesi perbincangan dan pameran. Menjelang kemerdekaan seni telah menjadi salah satu simbol kepada perpaduan kaum di Malaysia. Persepsi masyarakat terhadap seni telah mula berubah. Seni daripada taraf rendah (kedaerahan) meningkat ke peringkat antarabangsa.

Pada tahun 1957 Frank Sullivan telah dilantik sebagai setiausaha akhbar kepada YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaya yang pertama. Ini membawa kesan yang mendalam dalam perkembangan seni Malaysia kerana usaha-usaha Sullivan yang bersungguh-sungguh untuk memperkenalkan para pelukis tempatan serta karya-karya mereka. Balai Seni Lukis Negara di 109, Jalan Ampang telah dibuka dengan rasminya oleh YTM Tunku Abdul Rahman pada 27 Ogos 1958. Pameran pembukaan telah memaparkan karya-karya Chen Wen His, Cheong Lai Tong, Chuah Thean Teng, Mohd Hoessein Enas, Nik Zainal Abidin, Peter Harris, Patrick Ng, Syed Ahmad Jamal, Tay Hooi Keat dan Yong Mun Sen.

Selain Frank Sullivan yang menjadi setiausaha selama sepuluh tahun, antara yang telah membangunkan Balai Seni Lukis Negara adalah Tan Sri Mubin Sheppard, Tan Sri Ghazali Shafie, Tan Sri Dato’ Azman Hashim, Tan Sri Kamarul Ariffin, Tan Sri Zain Azraii, Professor Ungku Aziz, Puan P.G. Lim dan ramai lagi. Balai Seni Lukis Negara memperolehi koleksi tetapnya secara beransur-ansur. Dua koleksi yang menarik ialah gambar foto burung Dato’ Loke Wan Tho dan Koleksi hasil-hasil kaligrafi dinasti Sung yang didermakan oleh Lee Kah Yeow bernilai 2 juta ringgit.

SEJARAH SENI DI MALAYSIA 1 -(Awal)

Sejarah Awal Seni Visual

Terdapat kepercayaan bahawa pengembara- pengembara Eropah dan Inggeris telah meminta pelukis-pelukis negeri-negeri Selat yang berketurunan Cina atau Melayu untuk melukis gambaran kehidupan tempatan yang bermotifkan flora dan fauna. Ini disebabkan oleh minat mereka atau sebagai rekod sejarah. Lukisan-lukisan dan catan-catan tersebut banyak ditempah oleh pegawai-pegawai Syarikat Hindia Timur yang ditempatkan di Malaya.

Pihak Inggeris telah memperkenalkan genre lukisan/ catan lanskap dalam aliran Realisme, zaman Pre-Raphelites, Turner dan Constable. Ini telah berterusan sehingga abad ke 19 apabile Seni Eropah terutamanya Seni Perancis mula memberi kesannya kepada seluruh rantau dengan pergerakan-pergerakan seni seperti aliran Impresionisme, Kubisme, Surealisme, Futurisme dan Konstruktivisme.

Sumbangan golongan Cina kepada perkembangan seni Malaysia dan Singapura berpunca daripada pendatang dan pelawat Cina seperti Xu Beihong yang telah bermastautin di Pulau Pinang untuk beberapa tahun. Mereka juga telah berkunjung ke Singapura untuk sesuatu jangka masa. Mereka telah menerima pendidikan dalam lukisan berus Cina dan kaligrafi di China.

Pada mulanya penghijrah-penghijrah awal dari China adalah untuk mencari sara hidup. Seni halus tidak pernah difikirkan . Hanya selepas mereka bertapak kukuh dan berjaya dalam kehidupan, barulah terdapat beberapa penghijrahan berdasarkan kretiviti artistik mereka. Terdapat yang terlibat dalam pendidikan Seni dan ada pula yang menjadi pelukis amatur. Antara yang berjaya dalam bidang seni ialah Lee Kah Yeow, Wang Yau, Reverend Chuk Mor, Reverend Pak Yuen, Chai Horng, Chung Hong Kong dan Zhen Wei Sin. Kesimpulannya pada awal tahu 1920an terdapat pelukis yang mempamerkan hasil karyanya. Pameran seni lukis yang terawal di singapura ialah pameran Lian Xiao Oh pada tahun 1924. Disusuli pula dengan pameran pastel He Qui Qo pada tahun 1926.

Aktiviti-aktiviti seni yang awal di Pulau Pinang bermula apabila pengasasan Pulau Pinang pada tahun 1786 oleh Sir Francis Light di bawah Syarikat Hindia timur. Pelukis-pelukis Inggeris yang tinggal di Pulau Pinang gemar melukis pemandangan laut dan keindahan alam semulajadi pulau itu. Kemungkinan terdapat pelukis tempatan yang membekalkan lukisan-lukisan kepada para penaung Syarikat Peniagaan Eropah.

Perkembangan seni lukis moden boleh dikesan sehingga tanuh 1920an semasa kumpulan penang Impressionist ditubuhkan. Kumpulan ini terdiri daripada ekspatriat Eropah yang kebanyakannya merupakan surirumah bangsa Inggeris. Disebabkan sikap-sikap kolonialistik pada masa itu, pelukis-pelukis tempatan Pulau Pinang tidak dibenarkan menyertai Penang Impressionist. Dua orang pelukis tempatan yang diterima menganggotainya ialah Puan Lim Cheng Kung dan Abullah Ariff. Abdullah Arif diterima dalam kumpulan itu kerana perkhidmatan beliau sebagai pendidik seni diperlukan, manakala Puan Lim pula isteri seorang jutawan yang dapat memberi sokongan kewangan.

Tahun 1920an merupakan peringkat yang penting dalam sejarah seni lukis Pulau Pinang. Yong Mun Seng telah datang ke Pulau Pinang dari Singapura dan mendirikan studio seninya. Pelukis pertama yang mengadakan pameran seni lukis di Malaysia adalah Ooi Hwa yang telah mempamerkan karya-karyanya di Pulau Pinang pada tahun 1927. Ooi Hwa dan Lee Cheng Yong mungkin merupakan pelukis pertama yang pergi ke luar negeri untuk mempelajari seni di Akademi Seni Halus Shanghai. SITC (Sultan Idris Training College) ditubuhkan pada tahun 1922. Mata pelajaran Pendidikan Seni diajar di samping subjek-subjek lain. Komponen subjek Pendidikan Seni diajar bersama-sama dengan pertukangan tangan seperti membuat bakul dan lain-lain seni pertukangan rakyat ketika itu.

Sukatan Pelajaran yang digunakan adalah pelajaran menggunakan mengkuang untuk membuat bakul bagi tahun pertama. Mereka dikehendaki mencipta corak-corak baru dengan menggunakan rotan dan buluh. Kerja-kerja tahun pertama disambung pada tahun ke dua dan penggunaan rotan dan buluh adalah lebih meluas lagi pada tahun ke tiga. Buku teks yang digunakan ialah ’Kitab Rajah-rajah Anyaman’ oleh guru anyaman Mr. W. Olaguera.

Penuntut-penuntut diberi pilihan untuk pertukangan kayu bagi melatih membuat perabot-perabot seperti meja kecil, almari buku, tongkat dan sebagainya. Dalam tempoh tiga tahun terdapat enam kelas pertukangan kayu. Pilihan seterusnya adalah menjilid buku di mana hanya sebahagian kecil penuntut tahun tiga sahaja yang mengikutinya. Menganyam jaring bagi permainan bola sepak, hoki dan bola tampar. Pertukangan tanah liat di mana hanya sebilangan penuntut sahaja dipilih untuk belajar membuat tempat bunga, periuk dan lain-lain daripada tanah liat.

Pada tahun 1935, sekumpulan pelukis di Singapura merupakan penuntut Sekolah Seni Halus Shanghai, Sekolah Seni Shanghai dan Universiti. Mereka telah menubuhkan Salon Art Studies Society yang kemudiannya ditukar kepada Persatuan Pelukis-pelukis Cina.

Persatuan ini menumpukan perhatian kepada perlaksaan pameran karya-karya pelukis asing, terutamanya karya pelukis-pelukis HongKong dan Cina. Pelukis tempatan turut diberi peluang untuk meluaskan pengalaman. Pameran tahunan mereka telah menjadi tradisi berterusan tanpa sebarang sekatan melainkan pada tahun-tahun peperangan 1942 hingga 1945. Ramai ahlinya merupakan staf Akademi Seni Halus Nanyang.

Akademi Seni Halus Nanyang diasaskan pada tahun 1938 oleh pengetuanya, Lim Hak Tai. Lim Hak Tai, seorang pelukis ternama dan berwawasan memperkembangkan kesenian dengan menubuhkan institusi yang pertama dan paling lama di Singapura. Di antara pelukis-pelukis terkenal yang menjadi tenaga pengajar ialah Cheong Soo pieng, Georgette Chen Li Ying, Chen Wen His dan Chen Chong Swee. Para pelukis ini telah datang ke Singapura selepas Perang Dunia ke Dua. Mereka dilatih di akademi-akademi Seni di Shanghai, kanton dan Amoy. Mereka juga didedahkan kepada pengaruh modenis aliran-aliran di Paris.

Pelukis-pelukis Nanyang memainkan peranan yang besar dalam perkembangan tradisi seni moden di Malaysia dan Singapura melalui aktiviti-aktiviti mereka. Mereka terkenal kerana menggabungkan konsep Barat dan Timur dalam hasil karya mereka, yang kemudiannya dikenali sebagai Nanyang. Apabila Cheng Yong kembali pada tahun 1932, beliau mengadakan pameran solo di Philomatic Union, Acheen Street. Pameran ini telah memberi kesedaran kepada pelukis-pelukis tempatan yang telah melukis bersendirian dan tidak sedar akan kewujudan pelukis-pelukis lain.

Pada tahun 1936, pelukis-pelukis Cina telah berkumpul di bawah pengaruh Yong Mun Sen, dan menubuhkan Kelab Seni Lukis Cina Pulau Pinang. Di antara pengasas kelab ini termasuklah Lee Cheng Yong sebagai Presiden, Yong Mun Seng sebagai Timbalan Presiden, Quan Kuan Sin sebagai setiausaha, Tay Hooi keat sebagai bendahari dan Kuo Ju Ping, Tan Seng Aun, Tan Gek Khean serta Wan Fee sebagai ahli jawatan kuasa. Mereka telah mengadakan Pameran seni dan Fotografi yang pertama. Kebanyakan karya yang dipamerkan adalah mengikut aliran Realisme Barat dan Post Impressionism di samping beberapa lukisan berus Cina tradisional. Pelukis-pelukis di seluruh Malaysia dan singapura telah diundang untuk menjayakan pameran ini. Pada tahun 1937, kumpulan Penang Impressionist yang mengadakan pameran tahunan secara tetap, telah menjemput ahli-ahli Kelab Seni Lukis Cina pulau Pinang. Jemputan ini amat menggalakkan pelukis-pelukis tempatan memberi sumbangan yang positif. Pameran ini merupakan pameran terakhir Penang Impressionist sebelum dibubarkan sebelum bermulanya Perang dunia Kedua. Kebanyakan ahlinya yang aktif telah pulang ke Eropah atau pun telah dipindahkan.

Kelab Seni Lukis Cina Pulau Pinang telah mengadakan dua atau tiga lagi pameran di bawah pimpinan Lim Cheng Ean (ayah P.G. Lim dan Lim Kean Siew, pengumpul karya seni) dan seterusnya dipimpin oleh Ong Keng Seng. Ketika peperangan, aktiviti-aktiviti pertubuhan terpaksa diberhentikan untuk sementara waktu kerana kawalan keselamatan yang dikenakan di kawasan desa dan pantai. Akhirnya, pertubuhan ini dibubarkan sebelum kemaraan jepun pada tahun 1941. Pada tahun 1949, persatuan seni Singapura telah ditubuhkan oleh beberapa ekspatriat seperti Dr. Gibson-Hill yang mengetuai Raffles Museum and Library, Richard Walker yang merupakan pengetua Seni Sekolah-sekolah Singapura, Francis Thomas iaitu guru Sekolah St Andrews, Suri Mohgani iaitu pelukis tempatan dan Liu Kang yang juga Presiden persatuan tersebut. Walau pun Liu Kang bukan seorang guru seni beliau disanjung tinggi sebagai pelukis yang cekap dan penglibatan aktifnya dalam Persatuan Pelukis Cina dan Persatuan Seni Singapura.




Rujukan saya

Rindukan Ombak, bayu pantai


Rasanya dah lama aku tidak ke pantai, hati membuak-buak untuk kesini, bayunya yang lembut menghempas pipi dah lama tak ku rasa, ombak berlari keriangan terasa hendak ikuti bersama......Aku suka dengan pantai, Insyallah akan sampai jugak suatu hari nanti...

Gambar di perolehi dari:

Friday, April 13, 2012

Khas Buat Isteriku



Bermusim Abang Tinggalkan Pelabuhan Sepi,
Bersama Sebuah Sinar Harapan,
Hadir Ayang Bagai Seraut Pelangi,
Menerangi Kelam Di Hati Ini,
Tiada Kata Secantik Bahasa,

Untuk Abang Madahkan Buat Ayang,
Tiada Gambar Secantik Lukisan,
Untuk Abang Pamer Rasa Hati,
Aku Bukan seorang Pujangga,
Yang Bisa Bermian Kata-kata,
Abang bukan Seorang Pelukis,
Yang bisa Melukis Warna Cinta Abang,

Ayang......
Andai Mampu Abang Petik Bintang Di Langit,
Akan Abang Untai Menjadi Keronsang Ayang,
Andai Kudrat Abang mampu Kutip Buih Di Laut,
Akan Abang Anyam Menjadi Selendang Buat Ayang,
Tapi Abang Hanyalah Abang,
Tiada apa Melainkankan Seraut Cinta,
Yang Abang Semai Hanya Untuk Ayang,
Yang Abang Bajai Untuk Ayang,

Ayang......
Cerah Langit Tidak Ke Petang,
Ribut Melanda Di Tengahari,
Namun Abang Tetap Berdiri,
Dan Abang Tetap Begini,
Sejuta Onar Pasti Mendatang,
Segunung Ombak Pasti Menghempas,
Namun Setia Di Jiwa,
Bersam kita ke Penghujung Senja,
Hari Ini....Esok...Dan Selamanya..
Hanya Engkau Sinar Mentari
Hanya Engkau Kembang Di Taman Hati,
Hanya Ayang Isteri Abang

Monday, April 9, 2012

Sejarah Ipoh

Sila clik di link ini

Friday, February 17, 2012

Batik

Rasa-rasanya lama sudah tidak saya mengupdate blog ini, Kadang-kadang blog ini telah dari landasan, bercampur gaul dengan lain, tetapi hakikatnya Seni ini adalah meluas bukan sahaja dikenali sebagai lukisan, catan, arca atau sebagainya, sebagai contoh yang lain, fotografi juga adalah dari cabang seni, seni mengambar dengan 'cahaya', tarian pula kesenian yang melambangkan budaya setempat. Apa pendapat anda?

Kali ini saya nak berceloteh pasal satu jenis kraf tradisonal yang sekian lama tersohor(popular) sampai keseluruh dunia. Batik merupakan kraf tangan tektil yang mempunyai hubungan dengan pakain melayu. Di seluruh kepulauan melayu, Malaysia, Indonesia, Thailand dan Brunei mempunyai batik tetapi berbeza corak dengan setempat.

Batik merupakan satu bidang kraftangan yang unggul di Malaysia. Sejak abad ke 15 Masihi lagi manusia telah menemui kaedah pembuatan batik secara tradisional. Pada masa dahulu, masyarakat Melayu menggunakan ubi kentang sebagai alat pengecap tetapi kini kain batik telah diusahakan dengan menggunakan alat-alat moden. Batik mula diperkenalkan di negara kita khususnya di negeri Kelantan sejak tahun 1910 lagi. Batik berasal dari Indonesia dan terbit dari perkataan Jawa 'tik' yang bermaksud menitik atau menulis titik-titik. Ambatik pula bermaksud melukis, menulis, mewarna atau menitik. Di alam Melayu, sejenis batik yang dipanggil Batik Pelangi telah diperkenalkan sejak tahun 1770-an lagi. Di Malaysia kebanyakan kilang perusahaan batik banyak terdapat di Kelantan dan Terengganu.

Motif Batik

Motif pembuatan batik adalah corak-corak hiasan yang digunakan dalam proses melukis atau menerap batik. Bentuk-bentuk motif batik dihasilkan dalam dua bentuk utama iaitu Motif Organik dan Motif Geometrik. Motif Organik berunsurkan alam semulajadi seperti awan larat, tumbuh-tumbuhan, bunga-bungaan, dan haiwan.

Contoh Motif Organik.


1.Motif Ayam
2.Motif Bunga Buluh
3.Motif Bunga Kerak Nasi
4.Motif Bunga Kotak Bercampur
5.Motif Bunga Orkid
6.Motif Bunga Raya
7.Motif Daun Sireh
8.Motif Geometrik
9.Motif Pucuk Rebung
10.Motif Rama-rama
11.Motif Siput

Contoh Motif Geometrik.
1.Motif Pucuk Rebung
2.Motif Bunga Kotak Bercampur

Corak

Corak kain batik bermaksud bagaimana motif-motif yang dipilih dicorakkan di atas kain batik tersebut.
Antara corak-corak yang sering digunakan.

1.Corak Berdiri
2.Corak Jalur
3.Corak Melintang
4.Corak Menyeluruh
5.Corak Menyerong
6.Corak Tompok-tompok
7.Corak Ulangan Batu-bata
8.Corak Ulangan/Selang seli

Proses Membuat

Alatan yang biasanya digunakan untuk membuat batik.

1.Blok penerap
2.Campuran lilin
3.Kain
4.Pencelup
5.Sebuah Meja

Kain benang kapas berwarna putih merupakan yang sesuai untuk membuat batik. Selepas diterap dengan lilin pertama, ia akan dicelup dengan warna yang gelap sedikit. Setelah itu, ia akan diterap untuk kali kedua dan kemudian dicelup dengan warna yang lebih gelap. Proses ini akan diteruskan hingga habis. Kain ini akan direbus dalam air yang mengandungi soda. Apabila direbus, warna-warna yang berlainan akan kelihatan. Kain batik ini kemudiannya akan dijemur hingga kering. Kain-kain batik yang sudah kering, akan digosok, dilipat dan dibungkus untuk dipasarkan.

Penjenisan Kain Batik

Batik terbahagi kepada tiga jenis.

Batik Blok
Kain putih akan diterapkan dengan corak batik yang menggunakan blok corak. Blok corak diperbuat daripada kayu atau logam. Proses ini dilakukan berulang-ulang dengan mengikut susunan yang tertentu sehinggalah selesai. Di mana blok itu telah dicelupkan terlebih dahulu ke dalam pewarna sebelum ditekapkan di atas kain tersebut.

Batik Conteng
Alat canting digunakan bagi melakar corak batik dengan lilin panas di atas kain putih. Setelah kerja-kerja melakar selesai, proses mewarna mengikut kesesuaian corak dilakukan dengan menggunakan berus cat, dimana bahagian-bahagian yang terkena lilin itu tidak akan meninggalkan kesan warna apabila proses mematikan warna di lakukan. Lilin akan cair dan tanggal menjadikan bahagian-bahagian ini berwarna putih sebagai benteng.

Batik Skrin
Batik skrin ini tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan batik blok dan conteng. Hanya kaedah melakar corak dan cara menerapkan warna sahaja yang berbeza. Corak batik dibentuk di atas skrin yang diperbuat daripada kain polyster yang berpengidang. Skrin dilekapkan di atas kain putih, proses pewarnaan dengan melalukan warna di atas corak tadi dengan menggunakan sekuji. Cara begini akan diulang beberapa kali dengan corak yang berlainan untuk mendapatkan corak batik yang lengkap. Ini disebabkan satu skrin untuk satu warna sahaja.


Penggunaan

Penduduk di negara kita menggunakan batik secara meluas. Batik digunakan untuk membuat baju, kain sarung atau batik lepas. Sebagai contoh, pakaian seragam pramugari kapal terbang MAS dibuat daripada batik. Batik juga digunakan dalam majlis-majlis formal dan majlis keramaian. Selain dibuat pakaian, batik juga digunakan sebagai hiasan seperti alas meja, cadar, sarung kusyen, tudung kepala, alas televisyen dan lain-lain lagi. Batik boleh dibeli dengan harga yang murah dan berpatutan. Batik begitu digemari pelancong-pelancong asing kerana coraknya yang menarik dan unik. Ia sering dijadikan buah tangan untuk dibawa pulang ke negara masing-masing.

*gambar akan di upload kemudian...

Sunday, January 8, 2012

Hujan dan angin

Mata ini selalu bertemankan hujan,
walau angin itu selalu bertiupkan Rindu
entah sampai atau tidak
tapi tetap mata ini berhujan......