Monday, October 19, 2009

Seni Warisan Melayu kesusasteraan, pantun

2,3 minggu saya terbaca buku pantun, tajuknya kurik kundi merah saga, pantun kiasan melayu. pantu merupakan elemen seni, iaitu kesenian warisan budaya, kesenian mencipta pembayang dan mengkias sedikit kepada golongan2 tertentu, tak salah sekiranya saya mengatakan orang melayu zaman dulu kala amat kreatif dan mempunyai kesenian yang tinggi. Tidak salah kiranya saya memasukkan ruangan kesusateraan dalam blog saya ini kerana saya berfikir bahawa pantun dan sealirannya dalam satu perkataan iaitu "SENI". Di sini saya mengupas sedikit tentang buku kurik kundi merah saga edisi ke-2






Pengenalan

Pantun Melayu adalah merupakan sebuah hasil sastera rakyat yang tertua yang disebar-luaskan secara lisan. Ia tergolong di dalam corak sastera yang berbentuk non-narrative atau bukan cerita. Pantun adalah bahasa berangkap yang mengandungi unsur-unsur keindahan, seperti banyak baris tiap rangkap, banyak suku kata, ritma akhir, pembayang maksud, asonasi-aliterasi, kata-kata yang indah, ringkas dan padat. Pantun merupakan suatu bentuk tradisi lisan yang masih hidup sehingga sekarang. Fungsinya yang terdapat dalam hampir semua aspek kehidupan dalam upacara, kegiatan seni, dan kegiatan berunsurkan pendidikan menyebabkan pantun digemari. Setiap pantun yang terhasil dari pemikiran seseorang Melayu membawa maksud yang tersendiri melalui isi hati dan pemikiran tentang sesuatu perkara yang diucapkan secara halus walaupun maksudnya amat mendalam.

Pantun Melayu merupakan puisi Melayu tradisional yang merupakan pusaka atau warisan Melayu yang merupakan puisi yang terikat iaitu yang mempunyai bentuk, rangkap, rima, pembayang dan maksudnya. Pantun merupakan puisi ciptaan asli orang Melayu, bukan saduran dan penyesuaian daripada puisi-puisi jawa, India, cina dan sebagainya (Harun Mat Piah, et,2000:112).

Pantun juga merupakan hasil pengalaman hidup yang sederhana, yang dijalin dengan daya keintelektualan, dan seni masyarakat Melayu tradisional. Maka pastinya pantun ialah pemerian latar hidup, filsafat, dan penghayatan seni masyarakat Melayu. Saya berpendapat, kejadian pantun berdasarkan kepada ilham dari pengamatan hasil dari persekitaran dan peredaran semasa dengan mencari makna kehidupan sendiri. Secara inti patinya alam sekitar menjadi sumber ilham. Budaya lisan yang wujud pada suara, telinga, dan ingatan menentukan bentuk pantun. Bentuk ini tidak harus panjang lebar, kerana ingatan kita tidak dapat menangkap dan merakamkan terlalu banyak rincian, kata, bunyi, baris dan maksud. Oleh yang demikian, bentuknya harus agak pendek-pendek dan padat.

Pada permulaan pantun bermula dengan pantun dua kerat, kemudian pantun dicipta dengan empat kerat kerana penggunaan pantun ini memudahkan pemantun untuk mencipta pantun. Setelah terciptanya pantun empat kerat maka lahirlah pantun enam, lapan, dua belas hinggalah kepada dua puluh. Ini kerana orang Melayu terdahulu menunjukkan daya kreatif dalam berimaginasi bagaimana mereka mencipta bait-bait pantun dengan mencari makna dahulu kemudian menyatakan pembayang. Penciptaan pantun adalah berkait rapat dengan hasrat hati, permainan bahasa, ejekan, sindiran dan pemikiran yang berfalsafah pemantun.

Pantun juga bererti umpama. Sepantun maksudnya seumpama, seperti dalam, sepantun ayam kehilanagan induk. Dilihat dari segi bentuknya, ciri utama dalam ialah sampiran. Pantun merupakan puisi Melayu lama yang menggambarkan kehalusan budi dan keprihatinan masyarakat pada waktu itu terhadap alam dan ruang lingkup budayanya. Ruang lingkup budaya masyarakat Melayu lama bukan sekadar berkisar dalam diri, antara lainnya seperti sedih, hiba, sayu, kasih dan benci tetapi melebar kepada soal-soal sindiran, kiasan, cinta tanah air, pelayaran, ekonomi dan hubungan diplomatik.

Pantun dibahagikan kepada dua aspek yang penting, iaitu aspek luaran dan dalaman. Aspek luaran ialah dari segi struktur dan seluruh ciri visual yang dapat dilihat dan didengar termasuk rangkap, suku kata, pembayang dan maksud, rima yang tetap, dan setiap rangkap pantun mengandungi satu fikiran yang bulat dan lengkap. Manakala aspek dalamannya pula termasuk penggunaan lambang-lambang yang tertentu dan adanya perhubungan makna antara pasangan maksud, sama ada hubungan konkrit atau abstrak.

Semuanya itu dalam satu bentuk pemikiran yang tersusun dijelmakan dalam rangkap-rangkap pantun. Bukan sahaja mempunyai erti yang mendalam tetapi persembahan pantun itu sendiri amat menarik dengan baris dan pilihan kata-katanya dengan rima serta susunan perkataannya. Bentuk pemikiran itu membawa makna dan sekali gus memberi gambaran alam yang amat akrab dengan kehidupan masyarakat Melayu tradisi. Segala-galanya digubah dengan cara yang menawan.
Menurut Zainal Abidin bin Ahmad atau Za’ba dalam buku Pelita Bahasa Melayu Penggal III 1957 menyatakan bahawa pantun adalah milik masyarakat Melayu

“ pantun ini ialah cara karangan berangkap yang betul-betul hak Melayu dari asal dan betul-betul mengandungi semangat Melayu. Dan lagi ialah kaedah yang sejati bagi mengubahkan alun perasaan “syair” yang sebenar, iaitu menggambarkan fikiran-fikiran hiba, sayu, sedih, suka, sindir, giat, dan warna-warna perasaan yang indah seperti hal ehwal berkasih-kasih dan pujuk rayu yang lembut antara kekasih dengan kekasih.”

Walaupun masyarakat Melayu lama tidak tahu tentang ilmu tulis menulis namun mereka dapat mencipta pantun dengan baik. Mereka boleh berbalas- balas pantun di antara satu sama lain. Ini lazimnya berlaku dalam majlis-majlis yang tertentu seperti kenduri kendara, majlis meminang, pertemuan di musim menuai, majlis menyambut kelahiran anak dan lain-lainnya lagi. Manakala dalam perbualan biasa pula, kalangan orang-orang tua sering menyulam pantun dalam percakapan mereka. Dengan demikian, fikiran yang mereka kemukakan bertambah jelas apatah lagi pantun yang mereka gunakan mempunyai maksud yang bernas dan tepat.

Pada umumnya pantun memiliki ciri-ciri dam hukum kepuitisan yang tersendiri antaranya lain ialah

1. Memiliki rangkap-rangkap yang berasingan.

2. Setiap rangkap terdiri daripada baris-baris atau kerat-kerat, misalnya; pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun enam kerat, pantun lapan kerat, pantun sepuluh kerat, pantun dua belas kerat dan pantun enam belas kerat.

3. Jumlah suku kata dalam setiap baris adalah antara lapan hingga dua belas.

4. Setiap rangkap ada bahagian pembayang dan bahagian maksud. Pembayang tersebut juga sebagai sampiran atau pembayang maksud.

5. Skema rimanya ialah a-b-a-b

6. Setiap rangkap atau stanza pantun memiliki kesatuan fikiran yang lengkap dan sempurna.

7. Memiliki lambang-lambang yang sesuai dengan norma dan nilai masyarakat setempat.

8. Terdapat hubungan makna antara pembayang atau sampiran dengan bahagian maksud.

Bagaimanapun, banyak pendapat yang bertelingkah tentang ciri yang terakhir itu.
Ada yang berpendapat bahawa tidak terdapat hubungan antara pembayang maksud dengan maksud dalam pantun. Sementara pendapat lain mengatakan ada hubungan antara. Walau bagaimanapun, kadang-kadang kita dapati memang ada hubungan di antara pembayang maksud dengan maksud dalam satu-satu rangkap pantun. Ada juga yang tidak mempunyai apa-apa hubungan. Atau hubungannya tidak jelas.

Demikian juga dengan suasana atau gambaran alam yang terdapat dalam pembayang pantun itu menggambarkan kehidupan orang Melayu dengan tumbuh-tumbuhan yang berguna kepada mereka. Mereka tahu benar di mana pokok terap tersebut hidup subur. Menangkap ikan dengan menggunakan belat pula adalah satu cara kehidupan orang-orang Melayu yang tinggal berhampiran dengan sungai. Terutamanya apabila air sungai surut maka belat digunakan untuk mengepung ikan supaya masuk ke dalam lukah yang dipasang.

Jelas sekali bahawa kehidupan masyarakat Melayu dapat dikesan melalui serangkap pantun yang indah. Keseluruhan pantun itu memberikan satu kesatuan fikiran yang akrap dengan kehidupan. Sindir-menyindir dan kias ibarat memainkan peranan ketika menyampaikan sesuatu fikiran agar ia berkesan dan indah melalui pantun.

Berdasarkan struktur pantun ini, dapat kita lihat satu binaan yang amat kukuh dan rentak rimanya dirasakan bermula di tengah-tengah pada setiap baris iaitu ketika kita meletakkan ‘jeda’ atau berhenti sekejap ketika menyebut atau membaca pantun itu. Rima di tengah sedemikian ini menjadikan pantun tersebut lebih kemas dan indah. Malah rima itu bagaikan terdapat pada setiap kata yang kemudiannya hadir pada setiap baris pembayang dan maksudnya.

Setiap perkataan dalam pantun lazimnya mempunyai hubungan yang amat akrab dengan kehidupan masyarakat Melayu. Justeru itu, jelas pada kita ia merupakan norma dan nilai dalam masyarakat itu sendiri. Jika ia mengandungi perlambangan dengan maksudnya yang tersirat di sebalik sindiran dan kiasan, maka perlambangan itu adalah dalam konteks yang difahami malah digunakan oleh masyarakat Melayu. Malah sebagai satu budaya ia menggambarkan kesantunan, kelembutan dan keindahan yang jelas dilihat bukan sahaja pada maknanya tetapi juga pada struktur luarnya.

Dalam pantun, bahasa yang digunakan lebih mengutamakan kefahaman dan kejelasan makna tetapi yang ditekankan adalah bahasa yang digunakan perlu memperlihatkan kehalusan, kesempurnaan dan kemuliaan pembentukan serta penyusunannya. Ketiga-tiga ciri ini perlu untuk memperlihatkan nilai estetik sesebuah pantun.

Dengan ini jelaslah bahawa gaya bahasa dalam pantun cukup penting untuk melihat gaya seseorang pengarang menghasilkan karya. Hal ini bermakna, gaya bahasa merupakan kombinasi dua unsur, iaitu idea yang diekspresikan dan keperibadian pengarang. Gaya bahasa merupakan sesuatu yang istimewa, iaitu sebagai teknik eksposisi, pencapaian estetika dan pernyataan sikap pengarang.



Contoh pantun yang akan saya kaji adalah pantun kiasan atau sindiran dalam Buku Kurik Kundi Merah Saga. Dalam buku ini, pelbagai kategori pantun telah dijeniskan, semuanya mempunyai 11 kategori iaitu pantun kasih sayang, adat, kiasan, orang dagang, jenaka, perbilangan, budi, agama kepahlawan dan berniaga. Ruang lingkup yang akan saya kaji dan contohnya ialah hanya pantun kiasan.



Pantun Kiasan

Pantun digunakan secara puitis di dalam satu corak komunikasi berseni di tempat yang tertentu, di upacara yang tertentu atau untuk menyampaikan kiasan, atau sindiran yang tertentu. Tujuannya adalah untuk membela kehalusan bahasa, kelembutan jiwa bangsa Melayu secara tidak terus terang. Ini bermaksud agar yang kena sindir atau yang kena nasihat itu tidak marah, tetapi sebaliknya ada azam untuk memperbaiki perbuatan dan perangai yang tidak disukai.
Orang Melayu menggambarkan rasa tidak puas hatinya dengan bahasa yang tidak terus terang dengan tujuan mengelakkan berlakunya pertelingkahan yang serta-merta di antara sesama mereka. Ini bersesuaian dengan peranan pantun itu. Perhatikan pantun di bawah ini:


Buah langsat kuning mencelah,


Keduduk tidak berbunga lagi;


Sudah dapat gading bertuah,


Tanduk tidak berguna lagi.


Pantun ini menyatakan kepada yang ditujukan tentang rasa kesal, kecewa dan duka cita si penutur pantun. Jelas di sini bahawa pantun menyembunyikan maksud atau perasaan dengan penyusunan kata-kata yang indah. Si penutur pantun mungkin mengharapkan agar dia dapat dihargai dan tidak dilupakan begitu saja dengan kehadiran orang baru. Adapun maksud sebenar sindiran di dalam pantun ini ialah apabila seseorang itu beroleh teman baru, janganlah sekali-kali melupakan jasa baik teman lama. Inilah di antara keunikan pantun Melayu yang penuh dengan kata-kata simbolik yang tidak terdapat pada mana-mana bangsa lain.

Pantun kiasan juga adalah untuk memberi pengajaran dan juga nasihat kepada sesiapa sahaja. Sindiran juga adalah bermakna untuk memberi semangat kepada seseorang, untuk mengingati kepada golongan-golongan tertentu dalam masyarakat. Antaranya kepada muda mudi zaman dahulu yang inginkan ilmu, pengalaman, dan sebaginya. Tujuan adalah untuk mengejek pada seseorang tapi dalam masa yang sama adalah sebagi nasihat pendorong kepada seseorang itu. Ini bersesuaian dengan peranan pantun itu. Perhatikan pantun di bawah ini:

Berburu ke Padang Datar,
Dapat rusa bergelang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Macam bunga kembang tak jadi.

Pantun ini menyingkapkan maksud yang tertentu, mungkin kepada pemuda atau pemudi yang belajar sesuatu ilmu separuh jalan. Pada maksud pembayang telah mengambarkan kalau kita berburu rusa ditempat padang yang luas, alih-alih rusa bergelang kaki iaitu kiasan kepada sang belang atau pun harimau manakala maksud yang diberikan menonjolkan kepada seseorang yang berguru, tapi berguru hanya sekerat jalan macam bunga kembang tak jadi adalah menguntaikan maksud seperti ilmu yang diperolehi hanya sedikit dan tidak sepenuhnya tidak cantik dipandang, mengalah di tengah jalan dan sebagainya.
Sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat melayu, orang melayu ini suka sangat merendahkan diri. Dalam buku ini kurik kundi merah saga banyak pantun kiasan yang boleh kita definisikan orang melayu terlalu merendahkan diri. Cuba kita lihat pantun kiasan ini.


Hisap rokok dalam kelambu,
Terbit asap menjadi abu;
Saya seumpama golok kayu,
Tetak tak lut gadai pun tak laku.

Kiasan yang pertama pada pembayang adalah memberi petunjuk kepada kita kalau hisap rokok dalam kelambu akan menyusahkan kita kerana malang tidak berbau, kelambu adalah satu benda yang mudah terbakar. Kalau tersalah kena bara rokok pada kelabu nanti satu rumah keluar asap hingga terbakar hanya tinggal abu kalau dapat selamatkan diri pun tinggal sehelai sepinggan. Maksudnya pula menyatakan bahawa diri seseorang itu tidak berguna kepada sesiapa pun. Dia menyatakan dia seperti golok kayu, seolah-olah tidak ada apa-apa yang berguna kepada masyarakat sama ada buah fikiran, tenaga dan sebagainya.
Orang melayu sememangnya kreatif dalam berbahasa. Setiap tutur kata begitu halus tetapi sinis menyindir, pantun kiasan dipantun adalah untuk memberi kesedaran kepada seseorang atau pun golongan yang tertentu. Sindiran juga dibuat kepada golongan petani yang malas nak bercucuk tanam, tidak mahu berbudi kepada tanah. Tidak mahu bekerja keras dalam kehidupan berajakan kepada malas. Dalam buku kurik kundi terdapat pantun sindiran kepada golongan seperti ini. Cuba lihat pantun kiasan atau sindiran ini.

Tumbuk pulut di lesung tinggi,
Anak Pak Pandir tangkap belalang;
Hidupkan rumput bunuhkan padi,
Tentu sawah bertumbuh lalang.

Sindirannya jelas terpapar kepada individu yang malas bekerja, membiarkan tanah yang ada terbiar begitu sahaja tanpa di usahakan. Orang melayu amat tidak menyenangi individu yang mempunyai sikap begini. Orang melayu dahulu suka berbudi pada tanah kerana berbudi dengan tanah membalas budi dengan hasil tanaman yang berbuah. Di dalam agama juga kita dilarang membuang masa dan membazir. Jelas pantun ini menyindir golongan tertentu yang malas untuk mengusahakan sesuatu.

Pisau raut ulu manung,
Buat meraut rotan saga;
Ikan di laut asam di darat,
Dalam belanga berjumpa juga.

Cuba kita lihat pantun sindiran ini, ia menerangkan bagaimana sesuatu benda itu yang jaraknya diletakkan jauh-jauh sekiranya ia dah ditentukan bersama akan bertemu juga suatu hari nanti. Di sini kita dapat melihat bagaimana sindiran kepada seseorang yang cuba memisah seseorang dengan seseorang mungkin kita dapat memberikan gambaran sebagai kekasih yang cuba dipasahkan kalau dah ditakdirkan oleh Allah akan berjumpa juga suatu hari nanti.
Pantun kiasan dan saindiran ini bermacam-macam sindiran yang dilemparkan kepada golongan-golongan yang berkait dengan situasi ketika itu. nada yang diucapkan juga adalah berbeza dengan dengan tiap pantun sindiran yang lain. Mood penyampain juga adalah berbeza, reaksi muka dan sebaginya. Tetapi yang penting sekali permainan bahasa yang digunakan adalah begitu halus, ini berperanan adalah untuk mengelak dari perkara yang tidak diingini berlaku. Bahasa yang lembut dapat melembutkan hati yang tengah marah, itulah peranan yang penting dalam pantun dalam alam Melayu. Pantun kiasan juga jelas untuk mengingatkan kita jangan memandang rendah seseorang orang lain. Dalam pantun kurik kundi ada menempatkan pantun seperti ini. Ini bersesuaian dengan peranan pantun itu. Perhatikan pantun di bawah ini:

Pokok nangka pohon cempedak,
Pecah-pecah bunga sendudu;
Kecil jangan disangka budak,
Gajah tersungkur oleh pelanduk.

Pantun jelas menempelek golongan-golongan yang tertentu yang merasakan dirinya kuat. Sindiran juga adalah jangan memandang orang kecil walaupun kita berbadan besar kerana kita tidak menjangka, kita tidak mengetahui ilmu yang mereka ada. Walaupun seseorang itu kecil dan kita berbadan besar tetapi kita akalnya pendek sedangkan akal si kecil adalah panjang dan cerdik dengan senang kita ditewaskan dengan akal yang licik. Oleh itu janganlah kita memandang rendah seseorang itu walaupun secara zahirnya kita lihat seorang itu tidah berupaya tetapi kekuatan, semangatnya lebih tinggi dari kita.
Selain itu, pantun kiasan dalam buku ini juga memberikan sindiran kepada seseorang itu yang boleh dianggap bodoh dalam menjalani kehidupan dalam mencari rezeki. Ini jelas dalam pnatun kiasan ini, cuba kita perhatikan.

Buah pauh jatuh tercampak,
Jatuh mari tepi kuala;
Air keruh ikan tak nampak,
Buat penat turun menjala.

Pantun ini jelas menyindir seseorang itu yang tidak tahu menilai sebelum membuat keputusan dalam apa-apa hal. Pada pembayangnya menyata buah pauh atau mangga jatuh tetapi jatuh di tepi kuala telah memberi satu kesimpulan yang buah mangga itu tidak dapat diambil untuk dimakan kerana jatuh di tepi kuala kerana di tepi kuala mempunyai tebing yang dalam, manakan maksudnya menyindir pada seseorang yang membuat sesuatu yang sudah tahu yang usaha yang dilakukan adalah sia-sia hasilnya. Ini membincangkan bahawa orang Melayu dahulu bijak dalam memberi pengajaran kepada seseorang lain dengan penggunaan pantun begini. Kiasannya adalah bersungguh-sungguh dalam menempelek orang lain dalam apa jua keadaan.
Pantun kiasan di hasilkan berdasarkan kepada keadaan, peristiwa yang berlaku dalam latar masyarakat itu sendiri. Kiasannya adalah dengan terjadinya peristiwa sesuatu yang boelh dibuat sebagai teguran kepada seseoarang atau golongan yang sukar untuk menerima kenyataan dalam kehidupan. Sindiran adalah semata-mata hanyalah mengingatkan sesuatu yang tidak akan kembali lagi kepada kita. Perhatikan pantun di bawah ini.

Apa guna sambal tumis,
Kalau tak campur asam belimbing;
Apa guna lama menangis.
Tidakkan penuh telaga yang kering.

Pantun kiasan menyatakan bahawa sindiran si pemantun kepada individu ini yang seolah-olah tidak boleh menerima kenyataan dalam hidupnya. Pembayangnya juga telah membanyangkan bahagian jelas yang terhadap dalam kehidupan. Perkataan yang dihasilkan iaitu bait-bait yang halus dan manis didengar. Jelas di sini bahawa pantun menyembunyikan maksud atau perasaan dengan penyusunan kata-kata yang indah. Si penutur pantun mungkin memberi teguran kepada seseorang yang telah kehilangan sesuatu yang begitu disayangi hingga menanggis berharian-harian wal halkan benda atau sesuatu itu tak akan kembali lagi ke pangkuannya. Kalau dimaksudkan secara mendalam lagi, kemungkinan penutur pantun itu mengharapkan seseorang itu melupakan yang telah berlalu dan penutur itu boleh di jadikan gantinya.
Antara pantun kiasan yang lain yang terdapat dalam buku kurik kundi merah saga ini seperti berikut.

Ada damak ada ipuh,
Naik ke bukit nampak sumpitnya;
Emas perak senang disepuh,
Kalau besi nampak karatnya.


Ada kolah pada masjid,
Tempat budak sembahyang raya;
Tengah malam bintang terbit,
Bulan juga membawa cahaya.



Ada satu anak Mengkabau,
Cari makan di kebun Cina;
Sudah runtuh gunung Rembau,
Gunung Ledang ada gantinya.


Ada satu nama si Putung,
Duduk di surau berbaju kurung;
Taruh umpan salah gantung,
Tak kena ikan kena jerung.

Ada satu panglima raja,
Duduk kerusi kepala meja;
Tengah belayar taufan pun tiba,
Sampan kecil mahu buat apa?


Ada satu Putera Alam,
Duduk berkira siang malam;
Sungguh jernih air di kolam,
Tunggul buruk ada di dalam.


Ada satu Raja Pahlawan,
Sehari-hari duduk di kota;
Bukanlah bumi dilengkong awan,
Bulan matahari mahu serta.


Anak Cina belayar kapal,
Pecah cawan terantuk ke kemudi;
Kait bunga galah tak sampai,
Bunga biasa luruh sendiri.


Anak Cina belayar kolek,
Hendak pandai menjaga kemudi;
Kalau semua pilih yang cantik,
Tidaklah laku kain kodi.


Anak Cina berdayung sampan,
Hendak menuju kuala pekan;
Kalau takut tabur umpan,
Mana tahu ikan tak makan.


Anak raja berkirim surat,
Dari timur sampai ke barat;
Senjata lama dah dimakan karat,
Mana tikam susah nak lekat.


Anak helang dibawa terbang,
Bawa terbang terpingit-pingit;
Kalau abang tahu membilang,
Cubalah bilang bintang di langit.

Kesimpulan

Secara terusnya saya berpandangan bahawa, dalam buku kurik kundi merah saga ini, banyak pantun-pantun yang begitu baik yang telah dikumpulkan dalam semua pelusuk negeri dan negara. Semua pantun yang dijumpai dan di salin semula adalah menampakkan bahawa orang melayu adalah serumpun bahasa dan bangsa yang memisahkan hanya sempadan. Tetapi yang menyatukan kita adalah bahasa yang sama dan budaya itu sendiri.

1 comment: