Sunday, August 21, 2011

Tokoh seniman malaysia

Syed Ahmad Jamal

Syed Ahmad Jamal dilahirkan pada 19 September 1929 di Bandar Maharani, Muar, Johor. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Tambatan Rendah, Johor Bahru dari tahun 1936 hingga 1938. Kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Tambatan Tinggi pada tahun 1939, Sekolah Inggeris Ngee Heng pada tahun 1940, Sekolah Inggeris Bukit Zaharah dan Seterusnya English College (sekarang Maktab Sultan Abu Bakar) Johor Bahru hingga tahun 1949. Beliau kemudian meneruskan pelajaran di Birmingham School of Architecture pada tahun 1950. Pada tahun 1951 hingga 1955, beliau melanjutkan pelajaran di Chelsea School Art, London.

Sekembali dari England, beliau bertugas sebagai guru di High School, Batu Pahat, Johor dari tahun 1956 hingga 1957. Pada tahun 1957 beliau bertugas sebagai Pensyarah di Maktab Perguruan Harian, Kuala Lumpur (sekarang Maktab Seri Kota). Pada tahun 1958 hingga 1959 beliau bertugas di Malayan Teacher’s College, Kirkby, Lanc., England. Pada tahun 1963 hingga 1964 beliau mengikuti pengajian seni arca di School of Art Institute, Chicago, Illinois, Amerika Syarikat. Kemudian dia dilantik sebagai Pengetua Maktab Perguruan Ilmu Khas di Cheras pada tahun 1964.

Beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Sejarah Seni di University of Hawaii, Honolulu pada tahun 1973. Pada 1974, dia mengikuti pengajian Falsafah Seni Islam di Harvard University, Cambridge, Amerika Syarikat. Sekembalinya ke tanah air, beliau bertugas di Muzium Seni Asia, Universiti Malaya dan kemudianya dilantik sebagai Pengarah Pusat Kebudayaan, Univerisiti Malaya pada tahun 1979. Beliau dilantik sebagai Pengarah Balai Seni Lukis Negara pda tahun 1983 hingga 1991.

Syed Ahmad Jamal telah menerima pelbagai anugerah: Ahli Mangku Negara(1969); Kesatria Mangku Negara (1983); Asean Cultural Award – Visual Art (1987) dan pada 1995, dia dianugerahkan Anugerah Seni Negara. Dia dianugerah Panglima Jasa Negara pada 1996.

Selain melukis dan menyertai pelbagai pameran berkumpulan , dan solo, Syed Ahmad Jamal telah menerbitkan buku-buku kesenian yang penting. Antaranya Rupa dan Jiwa (Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.1992); Kunang-Kunang : Kenang-kenangan Syed Ahmad Jamal Seniman Negara (Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka 1999) serta banyak catalog pameran yang menjadi sumber rujukan bidang seni lukis di Negara ini.

TARIKH 30 Julai baru-baru ini negara dikejutkan dengan kematian tokoh terkemuka bidang seni rupa, Datuk Syed Ahmad Syed Jamal.

Ketika umat Islam sibuk menyambut kedatangan Ramadan, Seniman Negara yang berasal dari Muar, Johor itu meninggal dunia di kediamannya pada pukul 9 malam ketika berusia 82 tahun.

Pemergiannya satu kehilangan besar bagi negara sekaligus memberi kesan kepada institusi seni dan pendokong karya seni di negara ini dan antarabangsa. Ini kerana seni itu telah menjadi darah daging tokoh keramat tersebut sejak 53 tahun lalu.

Allahyarham merupakan antara tokoh yang memainkan peranan penting dalam perkembangan Balai Seni Lukis Negara, malah pernah memegang jawatan Pengarah Balai Seni Lukis Negara dari tahun 1983 sehingga tahun 1991.Beliau satu-satunya tokoh seni terulung sepanjang zaman dalam ruang lingkupnya yang tersendiri.


Allahyarham merupakan seorang pelukis yang berbakat besar dan telah menghasilkan karya-karya seni yang penuh penghayatan untuk tatapan para pencinta seni sehinggalah ke hari ini.

Beliau juga mengadakan pameran solo bagi mempamerkan hasil-hasil karya beliau untuk tatapan umum. Antara termasuklah pameran Antara Langit & Bumi, Ruang dan On & Off King’s Road.

Walaupun susuk tubuhnya mungkin tidak dikenali generasi terkini yang tidak meminati seni rupa berbanding seni hiburan, namun allahyarham secara eksklusif mempunyai pendokong dan pengikutnya yang tersendiri.

Malah, tidak salah dikatakan beliau umpama mahaguru seni yang tiada pencabar dan memiliki aura yang tersendiri.

Beliau dianugerahkan Hadiah Seni Negara pada tahun 1995 dan pelbagai anugerah lain kerana penglibatannya dalam seni rupa.

Allahyarham yang lebih dikenali dengan panggilan SAJ, sangat terkenal dengan keberaniannya merakamkan peristiwa-peristiwa kemanusiaan termasuk politik negara dan dunia dalam setiap perjalanan karya seninya.

Dalam pada itu, allahyarham turut menerima pelbagai tanggapan berikutan lukisannya yang menyentuh kemerdekaan, pembangunan negara dan politik di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, perjuangan Palestin, peristiwa politik tahun 1998 dan tsunami pada tahun 2004.

Bagaimanapun, allahyarham secara peribadi enggan menyertai mana-mana parti politik tetapi tetap lantang menyuarakan pandangan dan mengambil pendirian terhadap isu-isu kritikal yang berlaku di persekitarannya.

Menyorot pandangan rakan-rakan yang mengenali beliau, Raja Ahmad Aminullah mengakui sangat mengagumi SAJ yang dianggapnya sebagai satu-satunya seniman negara dalam seni rupa (lukisan dan arca) yang tiada tolok bandingnya.

Menurut Raja Ahmad, SAJ juga merupakan satu-satunya pelukis yang dinobatkan sebagai tokoh seni negara, selain merupakan seorang pendokong seni yang komited dengan dunia seni tanah air sehingga akhir hayatnya.

“Buktinya semasa saya menganjurkan festival seni antarabangsa, Pekan Seni Ipoh pada 1995 hingga 2000, SAJ banyak membantu menjayakan festival tersebut. Malah, sehingga sekarang apa sahaja aktiviti seni yang dianjurkan dia pasti terlibat.

“Beliau merupakan salah seorang jawatan kuasa pengelola festival tersebut banyak memberi idea selain bertungkus-lumus membanting tulang menggerakkan festival berkenaan,” kata pemilik galeri seni, R A Fine Arts itu.

Jelas Raja Ahmad lagi, SAJ merupakan seorang seniman yang berjiwa besar dalam menggalakkan kegiatan seni orang muda di negara ini sekaligus mengangkat nilai seni tanah air ke persada yang lebih tinggi setanding dengan Barat.

Pelukis yang banyak merakamkan peristiwa-peristiwa penting dalam perjalanan sejarah negara ini dikebumikan di tanah perkuburan Sungai Pusu, Gombak, 31 Julai, 2011.

sumber

http://www.kosmo.com.my/

No comments:

Post a Comment