Wednesday, September 2, 2009

kraft tradisional dan dimensi baru (tembikar)




SEJARAH SENI TEMBIKAR

Sejarah seni tembikar ini bermula sejak beribu tahun dahulu. Ia telah terbukti dengan penemuan barangan tembikar seperti di Gua Cha, Kelantan; Bukit Tengku Lembu, Perlis; Ulu Tembeling, Pahang; Bukit Tamabun, Perak dan Guah Niah, Sarawak. Pada zaman dahulu, ragam hias pada permukaan serpihan tembikar berbentuk sederhana yang dibuat secara spontan dan dibakar pada sebarang suhu.
Tembikar-tembikar neolitik yang dijumpai di Mesir, Cyprus dan Crete merupakan contoh-contoh yang menarik dari segi ragam hias. Pada zaman tersebut teknik sepuh dan guris telah berkembang. Selain itu tembikar bukan sahaja dihasilkan dengan bahan tanah liat basah tetapi juga dicampuri dengan pasir, serbuk batu dan arang. Tanah liat asli diambil dari dalam bumi dan sungai. Ia terdiri daripada ‘kulit dan tanah liat endapan’.

Di Perak, terdapat empat tempat yang berasingan di mana sebahagian penduduknya melakukan perusahaan tembikar secara kecil iaitu di Lenggong, Krian, utara Perak : di Sayong, Kuala Kangsar, Perak Tengah dan di Pulau Tiga sebelah selatannya. Usaha untuk menghidupkan kraf tangan tembikar ini telah dijalankan oleh PKKM di Enggor, berhampiran dengan Jambatan Iskandar.

Kegunaan tembikar pada zaman dahulu digunakan sebagai kegunaan harian dan secara keseluruhannya berbentuk periuk, belanga dan kukusan merupakan yang paling awal dicipta. Manakala, di Sarawak dan Sabah pula tembikar digunakan untuk upacara pengebumian. Dari segi bentuknya pula tidak jauh berbeza, persamaan dari segi susunan motif, ketebalan dan dibuat melalui teknik pembakaran pada suhu rendah dengan permukaan yang berwarna coklat, hitam dan kelabu gelap. Walau bagaimanapun tembikar
berbeza kerana ia dihasilkan mengikut teknik-teknik tersendiri serta dipengaruhi oleh budaya dan latar belakang si pembuat.


LABU SAYONG.


PENGENALAN

Kegiatan perusahaan seni tembikar tradisional di Semenanjung Malaysia telah mula dikenali sejak zaman berzaman dan kini masih hidup perusahaannya di Semenanjung Malaysia. Tembikar merupakan lambang keindahan warisan kesenian yang lahir dari ketajaman ilham manusia. Perusahaan ini kebanyakan di usahakan oleh kaum wanita. Seni tembikar merupakan hasil seni kraf tangan yang diperbuat dari tanah liat yang diuli, diterap dengan pelbagai corak, diserap serta dibakar untuk menghasilkan rupa bentuk yang unik dan berseni.

Tembikar yang terdapat di Sayong, daerah Kuala Kangsar, Perak yang dikenali sebagai Labu Sayong berwarna hitam. Mengikut sejarah Labu Sayong ini, apabila wujudnya buah labu tua yang dikeluarkan isinya dan dibersihkan sebelum dijadikan bekas untuk menyimpan air. Labu hitam ini pada zaman dahulu adalah tempat untuk menyimpan air minuman. Keistimewaan labu hitam ini ialah airnya yang sejuk dan dipercayai boleh menawarkan beberapa jenis penyakit seperti batuk, demam panas. Ia juga digunakan sebagai bekas air sewaktu menziarahi tanah perkuburan.

Bentuk Labu Sayong menekankan sifat semula jadi iaitu tanah liat serta teknik penggunaan tangan. Rekaannya pula menggunakan motif alam sekitar seperti motif bunga padi, pucuk rebung, bunga cengkih dan juga geometri yang harmoni. Oleh yang demikian, Labu Sayong tetap dikagumi dan diminati kerana bukan sahaja penggunaannya semata-mata tetapi keindahannya yang berasaskan nilai estetika barangan tembikar itu.

FUNGSI LABU SAYONG

Labu sayong ini digunakan sebagai bekas minuman, bekas menyimpan air minuman di majlis kenduri, pasu bunga, periuk, perhiasan dan sebagainya. Selain itu ia juga digunakan sebagai hiasan yang direka khas atau sebagai cenderamata. Selain itu di Sarawak, kaum etnik menggunakan tembikar sebagai bekas mengisi corak yang dimagangkan serta sebagai alat pengebumian bagi sesetengah suku kaum di Sabah dan Sarawak.


JENIS LABU SAYONG

Labu Gelugur
Labu yang badanya seperti buah gelugur.

Labu Gombol.
Labu yang berbadan bulat, berleher panjang dan bergombol serta bermulut kecil. Ia juga dikenali sebagai labu air atau labu awak.

Labu Tela
Labu yang badanya berbentuk labu ketala, berleher tirus ke atas dan bermulut agak luas. Ia juga dikenali sebagai labu ketala.

Labu Panai
Labu yang berbadan bulat dan sering bermotif garis timbul selari yang tempelkan pada bandannya.

Labu Lepap
Labu yang berbadan bulat dan licin, ada kalanya bercorak garis gores yang melintang, seorang dan panjang, berleher, gombol, bermulut berbesar, dan bertapak rata. Labu lepap juga dikenali sebagai labu lepan.

Labu Tanah
Tembikar pada dasarnya berbentuk buah labu air atau labu manis. Ia juga dikenali sebagai labu asli atau labu kaki.

Labu Leper.
Labu yang berbadan leper, berleher panjang dan berbadan bergombol, biasanya dihias dengan motif tumbuhan atau geometri. Ia juga dikenali juga sebagai labu bocong.

Labu Besar
Labu yang berbadan besar dan licin serta bulat, berleher panjang, bermulut sebesar lehernya, berkaki dan bertapak lebar seimbang dengan badannya yang besar.

Labu Pucung.
Labu yang berbadan bulat berbentuk seperti buah pucung, buah kepayang atau buah payung, berleher lurus dan bertapak rata. Ia juga dikenali sebagai labu kepayang.

Labu Belalai GajahLabu yang mengambil bentuk muncungnya belalai gajah


BENTUK LABU SAYONG


Terdapat beberapa bahagian yang terdapat pada labu seperti bahagian atas terdiri daripada penutup, bibir, mulut, muncung, motif hiasan dan kepala. Manakala bahagian tengahnya pula terdiri daripada leher. Bahagian bawahnya pula terdapat motif hiasan, bahagian badan, hiasan panai dan tapak atau kaki

Proses menyediakan tanah liat :


Ø Tanah liat dijemur untuk dikeringkan.

Ø Kemudian tanah liat ditumbuk untuk dijadikan tepung dengan menggunakan lesung kaki lalu di ayak.

Ø Tanah liat diperam dalam pasu berair selama tiga hari sehingga tanah mendap ke dasar pasu

Ø Air dibuang dan mendapan tanah liat dan lembut dibiarkan pada permukaan kepingan plaster Paris selama beberapa hari.

Ø Tanah liat diuli sehingga menjadi doh yang lembut dan liat

Ø Kemudian disimpan di dalam bekas yang bertutup untuk kegunaan kelak.


JENIS MOTIF


Motif hiasan labu sayong
1.Labu dihias sewaktu permukaannya masih dalam keadaan lembut.

2.Kebiasaannya motif yang diukir pada labu bermotifkan alam sekeliling atau motif geometri.

3.motif yang dihias pada labu tidak keterlaluan malah hiasan mudah seperti lengkungan (gelung puyuh), jaluran cengkung (gelugur) atau garis timbul (panai).

4.permukaan labu dihias dengan cara tekanan (hiasan tekap) atau turisan. Terdapat juga ragam hias yang dibuat dengan cara menakik (hiasan takik), mengkelar (hiasan kelar) atau mengguris (hiasan guris).



bersambung.................................seramik pula

8 comments:

  1. salam cikgu hisyam..
    sy student upsi
    semester 3
    program pendidikan seni
    sy tertarik dgn intipati cikgu dlm blog ni
    skrg cikgu mengajar focus kpd subjek seni tembikar?
    bagaimana cikgu nk bgthu kpd students cikgu y seni tembikar ini boleh advance lagi pd masa akan dtg?

    ReplyDelete
  2. sy kat cni tak amik studio tembikar sbb leceh ah
    sy x bpe advance lagi touch up tanah liat.
    by the way,sy dah xpayah amik lagi studio tradisional maksud sy studio seramic lah.....
    umm just i want to know detail about seramic for information..

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. askum..hye cikgu..sy berminat utk mengetahui corak tembikar kontemporari.. dan penggunaan selepas di kontemporarikan...

    ReplyDelete
  5. askum..hye ckgu..sy ingin b'tnye..apekah bahan atau peralatan utk membuat tembikar ?

    ReplyDelete
  6. Salam semua...broshur labu sayong nie adalah terbitan Kraftangan Malaysia.. untuk mendapatkan lebih banyak info dan buku berkenaan barang-barang kraf dan labu sayong nie boleh dapat di Kraftangan Malaysia...http://www.kraftangan.gov.my/

    ReplyDelete
  7. "Labu hitam ini pada zaman dahulu adalah tempat untuk menyimpan air minuman. Keistimewaan labu hitam ini ialah airnya yang sejuk dan dipercayai boleh menawarkan beberapa jenis penyakit seperti batuk, demam panas." nak kata yg dulu buah labu hitam yg jd tempat simpan air bukanyaa labu sayong..? tak faham sangat
    boleh terangkan

    ReplyDelete